Jumat, 14 April 2017

CERPEN GANGGUAN

Malam ini selesai aktivitas biasa aku buat seminggu dua atau tiga kali iaitu berlari sekitar 5 hingga 10 km. Aku duduk berehat meneguk air mineral sambil mengeringkan peluh yang hampir boleh memenuhkan sebaldi. Selepas kering aku capai tuala dan mandi. Selalunya selepas mandi dari melakukan aktiviti memenatkan pasti mudah tertidur. Biasanya la tapi tidak malam ini.
Teringat aku pada makwe yang berlari lebih laju dari aku tadi. Punya semangat sampai menerujakan aku untuk ikut di belakang. Lebih mengingatkan aku lagi pada makwe tadi kerana dia tersandung lalu terjatuh tapi masih cuba mengekalkan kecantikannya dan bangun meneruskan larian. Mungkin malu terjatuh dilihat oleh aku yang berlagak tenang bertanyakan keadaan dia yang OK atau tidak. Biasa la jejaka kacak harus tunjuk keperihatinan tanpa memilih bentuk tubuh dan paras rupa.
Selepas mandi aku melirik pada jarum jam, tepat melekat pada angka 1 pagi. Aku naik ke katil dan menggeliat. Terasa urat-urat bersimpul kembali lurus tanpa perlu khidmat dari rumah urut gaya Thai. Sebelum tidur aku ingatkan diri untuk membaca doa untuk menghindarkan dari apa jua gangguan yang cuba mendekati dengan niat jahat. Selesai membaca, mata memberi isyarat masih belum mahu berehat walau badan sudah keletihan dan aku terus putuskan untuk membaca buku. Selalunya bila membaca dalam waktu yang lewat aku akan cepat mengantuk lalu terus melayarkan bantera ke lautan mimpi.


Aku menekan suis hidupkan lampu dan memilih buku puisi kerana membaca puisi memerlukan penghayatan. Walaupun ada makna-makna yang kita terjemahkan tidak sama dengan niat penulis tapi ia tetap perlukan jiwa untuk dihadam. Buku puisi Qalb tulisan Maria bergigi besi (harap Maria tersenyum)  yang aku kenal dari twitter menjadi teman malam ini.
Sudah 30 minit berlalu belum ada tanda-tanda mata mahu terlelap. Aku meneruskan bacaan dengan teliti setiap bait lalu dihantar ke otak untuk diproses akan maksudnya. Setiap puisi biasanya akan aku ulang sebanyak dua atau tiga kali. Punyalah betul-betul nak hadam.
Selalunya semasa aku membaca dalam beberapa mukasurat, aku mesti berhenti mencapai telefon bimbit untuk bermain permainan bola sepak yang aku main dari tahun lepas. Aku pun tak tahu kenapa aku suka buat selingan semasa membaca walaupun buku yang aku baca itu memang menarik. Tetap akan membuat selingan.
Tiba-tiba di hujung telinga, aku terdengar sesuatu tetapi tidak dapat menangkapnya dengan jelas kerana terlalu sekejap. Aku menganggap itu hanya ilusi dari suasana yang sunyi, dan menyambung pembacaan.
GBRUUPP…. GBRRRUUUUPPPP….. KKKRRRUUKKK…..
Sekali lagi bunyi yang sama kedengaran. Kali ini lebih jelas dan lama. Aku kembali menoleh tingkap dan melihat keluar dengan membuka tingkap. Mata aku meliar memerhati sekeliling seperti anjing polis yang dilatih dengan cekap menangkap bau penjenayah. Mana tahu ada yang ingin mengambil harta keluarga aku. Dengan pantas aku akan melompat dari tingkap, bertumbuk dan menjerit sambil bangunkan jiran-jiran. Baru nampak macam hero.
Cuma malam yang disinar lampu LED aku pasang tiga bulan lepas tidak memperlihatkan bayang curiga yang aku cari. Yang ada pun kucing orang sebelah yang suka tidur di bawah kereta ayah aku. Tertanya juga aku kenapa kucing orang sebelah ni suka tidur di kawasan rumah aku, padahal rumah tuan dia banyak kot tempat boleh dia tidur.
Aku tutup semula tingkap dan sambung pembacaan. Kali ini aku mesti mengantuk! Aku mesti jayakan misi untuk tidur.
GBRUUPP…. GBRRRUUUUPPPP….. KKKRRUUUKKK….
Kesepian aku kembali terganggu selepas 2 minit. Aku jadi berang dan bingkas bangun membuat kekuda seperti pendekar yang bersiap siaga. Jika perlu aku berlawan seperti Hang Tuah dan Gusti Adipati Handaya Ningrat di alam ghaib seperti cerita Puteri Gunung Ledang pun aku sanggup. Biar zahirnya nampak kaku umpama tiada apa berlaku tetapi di batin penuh kesaktian berbalas-balas serangan sehingga salah satu tumbang. Aku betul-betul marah dengan bunyi yang tidak sudah menggangu.
Terlintas di fikiran aku juga mungkin dunia sudah dilanda zombi dengan tiba-tiba seperti The Walking Dead yang bertahun tak sudah-sudah episodnya. Aku bersedia jika zombi menyerang aku hanya perlu cucuk kepala tembus ke otak atau cantas terus kepala mereka. Cuma aku berharap yang menyerang bukanlah zombi Train to Busan. Memang tak cukup tanah aku berlari nanti. Hancur harapan nak jadi hero kacak.
Akhirnya aku memutuskan untuk menghadapi apa yang mengganggu aku. Lantak la kalau hantu pun, tetap aku hadapi dengan menghunus doa-doa yang aku hafal. Hampir semua jenis hantu Melayu aku hafal rupa parasnya. Manakan tidak, cerita hantu sudah biasa aku dengar dari kecil oleh bermacam-macam orang yang lebih tua dari aku (pangkat atuk selalunya) dengan pelbagai versi. Kali ini aku ada cerita versi dari aku sendiri untuk anak cucu cicit aku sebarkan di masa hadapan dengan cemerlang.
Aku sudah tahu dari mana bunyi itu datang!
Sel-sel saraf aku mula bersambung, darah mula mengalir deras di tubuh. Aku bersedia dan cergas walau sudah hampir dinihari. Perkara ini harus aku selesaikan sebelum waktu subuh. Kerana selepas waktu subuh tidak ada lagi bunyi seram atau kisah-kisah misteri akan berlaku dan didendangkan. Waktu seperti ini sahaja selalunya mata yang terhijab mampu melihat dengan jelas.
Dengan pantas aku ke dapur. Aku yakin di dapur semuanya akan terungkai. Di dapur ini akan aku tamatkan persoalan yang mengganggu aku. Aku ingin bebas. Pantang anak muda Melayu kacak berundur dari medan perang tanpa bertempur dengan sepenuh jiwa raga. Akan aku hadap tanpa belas kasihan.
Berbekal pengalaman dan ilmu yang diterap dari kecil, dengan lafas Bismillah aku melahap nasi sejuk berteman kecap serta ikan goreng yang tidak aku jamah petang tadi. Kes berjaya diselesaikan.

Tidak ada komentar: